My Speech At The 2009 Gerakan National Youth Delegates Conference

My Speech At The 2009 Gerakan National Youth Delegates Conference


My Speech At The 2009 Gerakan National Youth Delegates Conference

Posted: 30 Oct 2009 03:58 PM PDT

UCAPAN KETUA PEMUDA PARTI GERAKAN

PERSIDANGAN PERWAKILAN NASIONAL PEMUDA 2009

 Terlebih dahulu, saya bagi pihak Pemuda Gerakan ingin mengalu-alukan kedatangan para pemimpin parti pusat, khasnya semua bekas Ketua Pemuda Parti Gerakan, wakil-wakil Barisan Nasional, wakil-wakil persatuan dan pertubuhan NGO serta barisan ahli jawatankuasa mereka, saudara-saudari persidangan perwakilan ini, pihak media, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, selamat pagi.

 MELUPAKAN KISAH SILAM DAN MENUJU KE MASA DEPAN

Satu setengah tahun pun telah berlepas sejak Pilihanraya Umum Ke-12 diadakan, tetapi peristiwa itu masih mempengaruhi pemikiran dan pandangan kita sehingga hari ini. Sama ada dari segi rujukan kepada angka 308, perkataan "tsunami", "gempa politik" mahupun kehilangan lebih daripada 80 buah kerusi Parlimen atau 4 buah Kerajaan Negeri, kita tidak boleh mengasingkan peristiwa itu daripada pertuturan harian kita. Memang tidak boleh dinafikan bahawa kita masih dihantui oleh apa yang berlaku ketika itu.

Dalam lawatan saya ke merata negeri semasa Perwakilan Agung Parti di Peringkat Negeri baru-baru ini, rujukan itu juga kerap digunakan untuk mengingati kita bahawa apa yang telah berlaku bukan satu kebetulan tetapi akibat perbuatan kita sendiri, khasnya Barisan Nasional.

Keputusan PRU Ke-12 jelasnya menunjukkan kepada kita bahawa aspirasi dan hasrat pengundi dan rakyat jelata telah menjangkaui batasan perkauman. Kaum Melayu tidak lagi segan untuk menaikkan roket, Kaum Cina pula tidak terhenti-henti bermimpi bersama bulan, dan Kaum India telah dilihat menolong menaikkan bendera Pas serta menyertai Kelab Fan PAS. Kejadian sebegitu tidak pernah berlaku tetapi semua ini telah berubah selepas tahun 2008.

Banyak kerja pemulihan hendaklah dilaksanakan misalnya semua rancangan yang sedia ada harus dikemaskinikan dan dikaji semula untuk meningkatkan semula imej parti Barisan Nasional. Walaupun manusia biasanya mempunyai daya ingatan yang pendek, tetapi memori seperti harga petrol sebanyak RM2.70 ataupun peristiwa Kepala Lembu di Shah Alam tidak akan lesap sebegitu sahaja. Kepada mereka yang dilahirkan di negara tercinta ini 50 tahun dahulu tetapi masih menunggu kelulusan untuk mendapatkan Kad Pengenalan Biru hanya memanjangkan kederitaan mereka. Walaupun semua ini bukan kesalahan kerajaan Barisan Nasional, tetapi kepada rakyat jelata yang kini lebih berpelajaran dan berpengetahuan, kesemua ini dianggapkan sebagai satu-satunya kelemahan Barisan Nasional. Itulah sebabnya rakyat menolak BN.

Pemuda Gerakan menyeru supaya pemimpin dalam kerajaan tidak memandang masalah dari sudut perkauman. Kalau kita masih menggunakan cara perkauman untuk mengatasi masalah, kita hanya akan menjadi semakin mundur dan tidak dapat menuju ke hadapan. Soal perkauman janganlah sekali pun dijadikan alasan.

Maralah ke hadapan! Tinggalkan kisah silam! Lupakanlah cara-cara yang digunakan untuk menyelesai masalah pada masa dahulu. Kita mesti menangani masalah masa depan dengan mempelajari cara-cara baru yang dapat merangkumi semua kaum di negara ini.

Pemikiran ini haruslah dimulakan dan sentiasa dibawa bersama dengan ahli-ahli politik kita sendiri.

Bekas Ketua Pemuda Gerakan, Sdr Mah Siew Keong, dalam ucapan beliau dua tahun berturut-turut telah mencadangkan supaya parti-parti komponen BN digabungkan kepada satu parti besar yang merangkumi semua kaum, telahpun dilupakan (fallen on deaf ears). Cadangan ini telah ditolak oleh pemimpin-pemimpin parti-parti komponen atas alasan yang ianya tidak praktikal atau belum tiba masanya untuk kami berubah. Tetapi, jika masa belum tiba untuk berubah, bilakah kita hendak berubah? Adakah kita harus tunggu sampai BN kalah di tangan Pakatan, sebelum kita mula menerokai cadangan ini?

Di sini, buat sekali lagi, ingin saya tegaskan bahawa tidak ada masa yang lebih baik dari sekarang untuk kita meluaskan hati dan memeluk idea untuk menyatukan semua parti politik yang berdasarkan satu-kaum (mono-racial party) kepada satu parti besar yang berdasarkan semua kaum majmuk (multi-racial party).

Saya berharap, Pemuda BN yang kini dibawah pucuk pimpinan Sdr Khairy Jamaluddin tidak mengambil ringan cadangan ini tetapi sebaliknya mengambil persediaan untuk menjelajah kemungkinan wujudnya satu parti bersatu sedemikian. Saya ingin mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Pemuda BN (taskforce) didirikan untuk mengkaji bagaimana struktur parti sedemikian dapat dijadikan satu kenyataan suatu hari nanti. Sistem parti komponen BN telah berjaya dalam 50 tahun yang lalu, tetapi ini tidak bermakna ia akan berjaya untuk 50 tahun yang akan datang. Kami harus bersiap sedia sebelum "tsunami" yang lebih kuat, lebih kencang melanda pantai kita. Sudikah anda membuat persiapan yang sama?

Selain daripada itu, terdapat satu lagi perkara yang sering kami alami di Parti Gerakan iaitu kerumitan untuk menarik ahli-ahli baru, khasnya kaum Melayu untuk menyertai parti kami. Adakah ini berkaitan dengan kewujudannya Parti Satu-Kaum?

PEMINDAAN AKTA-AKTA MALAYSIA

Isu Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA masih hangat di kalangan kita. Isunya bukan atas sebab berapa atau siapa yang masih ditahan tetapi betapa "draconian-nya" Akta ini jika dilihat dari sudut hak asasi manusia. Isu yang sentiasa timbul ialah "tahanan tanpa sebab" dan juga penyalahgunaan kuasa semasa menahan orang yang tidak patut ditahan, misalnya seorang wartawan yang hanya rajin menjalankan tugasnya, ataupun peguam-peguam yang menjalankan tugas untuk membela klien mereka.

Pemuda Gerakan menyeru Kerajaan supaya membuat pindaan yang menyeluruh ke atas Akta ISA dan pada masa yang berpatutan memansuhkan seluruh Akta tersebut dengan satu Akta yang lebih berperikemanusiaan.

Kami melaungkan cadangan Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Hishammudin supaya Akta ISA dipindakan dengan secepat mungkin supaya keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan ini akan dipulihkan dengan secepat mungkin.

Pada 31 haribulan Julai yang lalu, Pemuda Gerakan telah membuat rombongan ke Istana untuk menyerahkan Memorandum Anti-ISA kepada DYMM YDP Agung sehari sebelum Kumpulan Gerakan Mansuh ISA (ataupun digelar sebagai GMI) dapat berbuat demikian.

Walaupun kami sependapat dan bersimpati dengan perjuangan GMI dalam isu pemansuhan Akta ISA, kami Pemuda Gerakan ingin menegaskan bahawa kami tidak bersetuju dengan taktik dan tujuan parti-parti pembangkang apabila mereka meng-hijack dan mengeksploitasikan penyerahan Memorandum oleh GMI ke Istana ini semata-matanya untuk kepentingan mereka sendiri. Oleh kerana itu, kami dengan hati yang berat terpaksa memutuskan tali persaudaraan dengan GMI buat sementara waktu supaya episod perarakan Anti-ISA pada 1hb Ogos itu tidak dijadikan sebuah trajedi.

Sebagai ketua kepada Pegerakan Pemuda Nasional parti ini, saya juga tidak boleh meluruhkan kewajipan saya ataupun mengambil sikap 'tidak-ambil-tahu' terhadap isu sekuriti semua anggota saya. Saya terpaksa memikul beban sehingga ke akhirat jika penyertaan kami di perarakan itu mengakibatkan salah seorang daripada ahli-ahli ataupun penyokong saya dimasukkan penjara.

Nasib baik dan insya-Tuhan, kesemua pihak kami selamat pulang ke tempat asal selepas perjalanan ke Istana tamat pada hari itu.

Di samping pembaharuan undang-undang keselamatan dalam negeri, Pemuda Gerakan juga percaya bahawa masih terdapatnya undang-undang sekatan yang telah ketinggalan zaman yang harus dipinda. Diantaranya, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (Publishing and Printing Press Act) yang digubalkan untuk menyelia dan mengawal media pencetakan telahpun hilang kepentingannya dalam dunia internet dan broadband yang kini berleluasa tanpa sempadan.

Sebaliknya, Blog dan Facebook telah menjadi media pengantaraan utama sekarang dan bukan "media terbit". Maka polisi untuk menyekatkan "media terbit" utama negara ini hanya akan menjejaskan kedudukan mereka dan secara tidak langsung mempromosikan media-media alternatif. Syarat untuk penerbit media utama memperbaharui lesen terbitan setiap tahun hanya menakutkan penerbit dan tidak mendorong penerbit ataupun wartawan untuk melaporkan berita dengan benar atau secara terus terang. Syarat tahunan itu akan digunakan sebagai "rotan" atau "lobak merah" untuk mengawal penerbit-penerbit tersebut. Justeru itu, Pemuda Gerakan mencadangkan supaya syarat pembaharuan lesen tahunan dibatalkan dan satu sistem baru yang berdasarkan "merit system" digantikan. Seperti dalam kes lesen memandu, penerbit akan ditolak markah jika didapati bersalah ataupun telah didapati memainkan sentimen perkauman, misalnya. Apabila markah ditolak sehingga tahap sifar, lesen terbitan mereka akan ditarik balik oleh Kementerian berkenaan.

Satu lagi Akta yang juga ketinggalan masa ialah Akta Universiti dan Kolej University (AUKU). AUKU perlu dipinda untuk membenarkan pelajar-pelajar menyertai badan-badan bukan kerajaan (NGO) di luar kampus. Pelajar-pelajar ataupun pensyarah-pensyarah juga haruslah diberi ruang untuk menyertai parti-parti politik ataupun kegiatan parti yang dipilih oleh mereka tanpa kesan buruk. Demi kepentingan pelajaran yang harus diutamakan, pelajar-pelajar seharusnya mendapatkan kelulusan daripada pihak Universiti ataupun Naib-Chanselor untuk menyertai kegiatan sedemikian. Suatu sistem "grade-point" harus ditetapkan oleh pihak universiti. Permintaan oleh pelajar-pelajar yang dapat mematuhi "grade-point" ini sahajalah yang akan diluluskan. Sistem "grade-point" ini akan memastikan supaya pelajar-pelajar dapat menangani pelajaran mereka dengan cemerlang sebelum mereka dibenarkan menceburi diri dalam kegiatan sosial yang lain.

Selain daripada penyertaan para pelajar dalam kegiatan politik, perwakilan pelajar-pelajar dalam hal kebajikan mereka di kampus harus juga diberi tumpuan. Kini, hanya Naib-Chancelor berkuasa untuk membuat segala keputusan atas taraf kehidupan pelajar-pelajar di kampus. Pemuda Gerakan mencadangkan supaya pelajar-pelajar yang dipilih oleh rakan-rakan mereka semasa Pemilihan Perwakilan Kolej juga diberi kuasa untuk berunding dengan pihak Universiti mengenai isu-isu sedemikian. Satu lembaga yang dikenali sebagai "Student Consultative Council" haruslah ditubuhkan dibawah AUKU 'baru' supaya Naib-Chancelor dapat prihatin atas kemahuan pelajar-pelajar semasa mereka tinggal di kampus.

KEPIMPINAN MELALUI TELADAN

Dalam pemerhatian saya selama ini, didapati bahawa kebanyakan masalah yang dihadapi oleh BN pada masa kini disebabkan oleh perbuatan kita sendiri. Kita telah terlupa untuk memimpin melalui teladan.

Adalah tidak mencukupi untuk YAB Perdana Menteri sahajalah yang menyanyikan lagu "berubah… berubah", padahalnya orang yang dibawah struktur piramid pentadbiran hanya menganggapkan seruan beliau sebagai satu lagu atau melodi yang diulangi dan bukan sesuatu yang mesti dilaksanakan.

Misalnya, apakah "Sikap Teras" (Core Attitude) kita terhadap "politik" ataupun Parti Politik? Memang tidak boleh dinafikan bahawa untuk bergerak dan menjalankan kegiatan yang memberi kebaikan/manfaat kepada para pengundi dan rakyat jelata semestinya memerlukan wang. Tetapi wang itu tidak semestinya datang dari kerajaan. Adakah perjuangan politik kita begitu cetek sehinggakan segalanya bergantung keatas "peruntukan wang" sahaja. Tanpa peruntukan itu, segala jentera atau "machinery" berhenti di situ.

Kami di BN telah duduk diatas "punggung sendiri" buat terlalu lama sehingga kami tidak tahu bagaimana hendak bergerak. Rangkaian politik atau "Network" kami hanyalah berdasarkan kepada orang yang kita kenali dan tidak termasuk orang di luar golongan politik. Misalnya, sama ada pada hari rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina ataupun Deepavali, kita hanya menjemput rakan sejawat kita dari UMNO, MCA dan MIC. Jika ini dibiar berterusan, bagaimanakah kita hendak mendapatkan maklumbalas daripada para pengundi di kawasan kita? Adakah ahli-ahli Parti Pembangkang turut di jemput?

Ataupun, apabila tiba masanya untuk memberi hadiah atau sumbangan kepada penduduk tempatan semasa kegiatan bermuafakatan dan saling kenal mengenal, hanya golongan akrab yang dapat tetapi orang yang patut menerima (deserving groups) tidak dapat.

Satu lagi perkara yang ingin saya timbulkan ialah PPSMI. Ini juga ada kaitan dengan topik Kepimpinan Melalui Teladan. Setahu saya, ada segolongan pemimpin kita yang menyokong sepenuhnya dan memuji betapa baiknya jika semua mengamalkan pengajaran Mathematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Tetapi golongan inilah yang juga menghantar anak-anak mereka ke sekolah private. Kononnya, "standard" sekolah tempatan tidak begitu memuaskan. Golongan ini termasuk pemimpin-pemimpin, orang-orang atasan dalam sektor pentadbiran dan kerajaan, malahan anak-anak Menteri kita sendiri juga dihantar ke sekolah sedemikian.

MENINGKATKAN KECEKAPAN AGENSI-AGENSI KERAJAAN

Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2008, masalah pembaziran and isu keterlaluan semakin merunsingkan. Sebagai contohnya, didapati ada sebuah Kolej Pengajian Tinggi yang telah membeli 2 buah laptop untuk RM42,000 sebiji. Di suatu kejadian yang lain, Syarikat Pempena telah melaporkan kerugian sebanyak RM50 juta kerana tidak membuat siasatan sebelum melabur. Peristiwa-peristiwa sebegini tidak haruslah timbul jikalau pegawai-pegawai kerajaan kita menjalankan tugas mereka dengan teliti dan penuh dedikasi.

Baru-baru ini, peristiwa penyalahgunaan dana Zon Bebas Pelabuhan Klang (ataupun PKFZ) telah menjadi sebuah skandal yang terbesar selepas BMF 20 tahun dahulu. Peningkatan kos terakhir untuk membangunkan PKFZ sebanyak 12 billion ringgit itu tidak boleh di pandang ringan begitu sahaja. Bayangkan… Dengan 12 billion ringgit, berapa buah sekolah boleh kita bina? Berapa ramai pesakit yang dapat menikmati taraf kehidupan baru dengan hospital ataupun klinik desa baru yang dapat kita binakan? Berapa ramai orang kurang upaya (OKU) yang mendapat bantuan jika sebahagian dana itu diberi kepada mereka?

Tindakan perlu diambil dengan serta merta untuk menghentikan sebarang pembaziran dan keterlaluan pada saat ini. Apabila tersebut tindakan, bukan sekadar memindahkan pegawai-pegawai atau orang-orang yang berkenaan kepada jabatan lain sahaja dan melupakan segalanya selepas itu. Hukuman mesti dikenakan keatas pihak yang berkenaan dan cara-cara untuk mendapatkan balik dana yang telah hilang mesti disempurnakan.

Namun begitu, Pemuda Gerakan ingin memberi kepujian kepada Jabatan Ketua Juruaudit atas kerja mereka dalam membongkar dan memdedahkan semua penyelewengan dan  kesalahan pengurusan kewangan. Ini menunjukan bahawa adanya yang masih telus dan ini adalah satu perkara yang amat positif.

LANGKAH BERSAMA KE ARUS PERUBAHAN

Saudara-saudari sekalian,

Kita hadir pada hari ini di Persidangan Tahunan Perwakilan Nasional dengan perasaan yang berat jika dibandingkan dengan tahun yang lepas. Dahulu, kami boleh berbangga dengan kedudukan kami di Pulau Pinang dimana parti kami dijawatkan dengan Ketua Menteri dan Ahli-ahli Exco. Parti Gerakan juga mempunyai seorang Menteri di Jemaah Menteri, 3 orang Timbalan Menteri dan 2 orang Setiausaha Parlimen. Kami juga dapat mempertahankan 10 buah kerusi di Parlimen.

Kini, segalanya telah berubah. 50% kerusi Parlimen dijawat oleh seorang Pemuda Nasional dan 50% yang lain pula dijawat oleh Wanita Nasional. Saudara-saudari, daripada 10 buah kerusi Parlimen, kita hanya 2 buah sahaja yang tinggal. Justeru itu, kami mesti merancang dengan baik dan teliti supaya kita dapat berubah mengikut arus perubahan. Jika tidak, Parti kesayangan kami pasti akan menemui jalan buntu tidak lama lagi.

Parti Gerakan baru menyambut Ulangtahun Ke-41. Selama 41 tahun ini, parti kami telah dapat mencapai satu imej tersendiri yang baik dan bersih. Kami harus memastikan kewujudan ini berkekalan buat selamanya. Ideologi dan perlembagaan parti masih tegas dan kukuh. Parti kami masih mempunyai perluang untuk menjadi parti pilihan orang muda pada masa yang akan datang. Walau bagaimanapun, untuk menjadikan ini sebagai satu kenyataan, kami harus mempunyai suatu keistimewaan yang dapat membezakan kami daripada parti-parti politik yang lain. Bagaimanakah kami dapat mencapainya?    

Ada yang berpendapat bahawa parti kami telah sesat hala tujuan dalam 25 tahun dalam kerajaan. Bahawasanya kami tidak mampu lagi mengikut aliran arus semasa. Kami telah kehilangan visi atau wawasan kerana terlalu sibuk dan prihatin dalam soal pemerintahan sehinggakan perjuangan ideologi parti kami diabaikan.

Pada definisi saya, Visi itu bagaikan satu "jalan 2-hala". Untuk memastikan perlaksanaan yang sempurna, kita perlu penglibatan dan komunikasi 2-hala, iaitu dari atas-ke-bawah dan dari bawah-ke-atas struktur parti. Tiada gunanya jika hanya pemimpin sahajalah yang dianggap membuat kesemua kerja dan mereka di akar umbi pula duduk diam dan "menunjuk-nunjuk jari" mencari kesalahan (seperti ketam mengajar anaknya berjalan terus) tanpa sebarang cadangan atau jalan penyelesaian. Sebaliknya, sistem ini juga akan gagal jika cadangan pula tidak dihiraukan atau dipertimbangkan oleh pihak atasan.

Kami harus mengenali dan mengambil tahu apa kehendak dan pandangan akar umbi kami.

Saya ingin mencadangkan supaya Pemuda Gerakan dapat mengambil alih sayap Beliawanis (iaitu sayap Puteri kepada parti-parti politik yang lain). Ini ialah kerana, apabila adanya gadis-gadis muda yang menyertai kegiatan Pemuda Gerakan, ini akan memotivasikan lebih lagi pemuda-pemudi bergiat dalam aktiviti kita.    

Bagaimanakah kami dapat meneguhkan lagi dan menambahkan kualiti kepada struktur akar umbi parti? Adakah kami patut bermula pada peringkat Cawangan? Bagaimanakah kita dapat memastikan yang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada peringkat Cawangan dan Bahagian telah diadakan dengan jujur dan ikhlas dan bukan sekadar rekod dalam bentuk minit mesyuarat sahaja? Patutkah setiap Cawangan diwajibkan untuk menyerahkan foto sebagai bukti untuk mengesahkan bahawa AGM telahpun diadakan? Ini mungkin dapat mendorong (memotivasikan) ahli-ahli Cawangan untuk sekurang-kurangnya bertemu sekali setahun untuk mengambil foto kumpulan mereka.

Saya percaya bahawa manusia adalah makhluk yang suka bersosial. Jika mereka dapat bertemu, sudah tentu mereka dapat sesuatu topik untuk dijadikan perbualan atau perbincangan. Ini dengan secara tidak langsung terhasil-lah suatu mesyuarat walaupun dalam bentuk perbualan tidak formal.

Dalam alaf digital fotografi dan broadband internet ini, setiap Cawangan hanya perlu menghantar foto mereka melalui e-mel pada atau sebelum tarikh masa yang ditentukan untuk mengekalkan status aktif Cawangan mereka.

TIBALAH MASANYA UNTUK BERUBAH

Saudara-saudari,

Daripada 9 pilihanraya kecil yang telah diadakan semenjak Pilihanraya Umum ke-12 negara ini, BN hanya dapat memenangi 2 daripada 9 buah kerusi yang dipertandingkan atau tidak ditandingi kerana soal prinsip.

Dalam 7 buah kerusi yang kami tewas, iaitu Pematang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai and Pematang Pasir, kami hanya mampu mengurangkan gabungan majoriti Pakatan Rakyat daripada 27,688 pada bulan Mac 2008 kepada 26,813 dalam kesemua pilihanraya kecil itu. Kami hanya mampu merampas 875 undi secara keseluruhannya daripada pihak pembangkang. Nombor 875 ini mempamerkan bahawa betapa banyak lagi kerja yang mesti dilaksanakan untuk menegakkan nama baik BN. Sungguhpun YAB Perdana Menteri telah mengemukakan pelbagai program pembagunan negara, kita hanya dapat memesong 875 orang untuk memihaki kami daripada Pakatan Rakyat, bukankah ini satu keputusan yang amat menyedihkan?

Namun demikian, kita harus memberi kredit kepada calon Bagan Pinang, Tan Sri Isa Samad kerana berjaya merampas lebih undi untuk BN dalam pilihanraya kecil baru-baru ini, iaitu dengan majoriti 3102 undi. Walau bagaimanapun, kita patut meninjau pilihanraya kecil Bagan Pinang sebagai suatu insiden luar biasa yang disebabkan oleh sifat "candidate-centric" kawasan itu.

Kesimpulannya, saya ingin menegaskan bahawa kita tidak patut leka dan terdapat banyak lagi cabaran yang harus kita rintangi. Untuk maju ke hadapan kita terpaksa menguatkan hati untuk membawa perubahan. Ubahlah cara lama, ubahlah buah pemikiran. Persoalannya sekarang ialah adakah perubahan ini hanya sekadar cakap kosong?  Kita mesti ambil tindakan sekarang …. Berubah atau bersedia untuk diubahkan!

Sekian, Terima Kasih!


No comments:

Post a Comment